Susulan konflik Palestin-Israel yang tercetus pada 7 Oktober 2023, ranai orang memboikot jenama besar Barat termasuk McDonald’s.
Kesan boikot amat dirasai McDonald’s menerusi laporan terbaru suku keempat dan penuh tahun 2023 jenama itu semalam.
McDonald’s memaklumkan peningkatan jualan pada suku keempat hanya mencecah 0.7%. Syarikat percaya hal ini berlaku disebabkan impak perang antara Israel dan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza.
Hal ini diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) McDonald’s, Chris Kempczinski. Beliau memaklumkan selagi konflik ini berlangsung, selagi itu ia akan memberi kesan besar kepada kedudukan syarikat.
Kempczinski turut memaklumkan kesan boikot dapat amat dirasai di pasaran Timur Tengah dan negara-negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia.
“Seperti yang kita katakan dalam kenyataan yang disediakan, pandangan kita ialah selagi mana konflik ini berterusan, kita tidak akan membuat apa-apa perancangan, kita tidak menjangkakan penambahbaikan signifikan dalam hal ini.
“Apa yang berlaku merupakan satu tragedi kemanusiaan dan saya fikir itu memberi kesan kepada jenama seperti kita,” katanya seperti dilaporkan The Hill.
McDonald’s berdepan boikot gara-gara tindakan McDonald’s Israel memberi makanan percuma kepada tentera dan warga Israel susulan konflik yang tercetus pada 7 Oktober itu.
Ini mengakibatkan ramai pemilik francais di Timur Tengah dan Asia membidas tindakan McDonald’s Israel itu.
Selepas laporan kewangan ini diumumkan McDonald’s, saham syarikat itu jatuh sebanyak 3.7%. Selain McDonald’s, Coca Cola dan Starbucks juga berdepan boikot selepas konflik Palestin-Israel tercetus.
Konflik ini menyaksikan lebih 27,585 warga Palestin terbunuh. Konflik ini turut menyaksikan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menganggap apa yang berlaku ketika ini sebagai pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel.