Berita
Ismail Sabri

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sah kembali bergelar pelajar universiti.

Ini selepas beliau mengumumkan akan menyambung pengajian ke Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak mendedahkan bidang atau kursus pengajian mana yang diambil di universiti berkenaan.

Bila ditanya tentang peringkat pengajian yang diambil di ruang komen, beliau mendedahkan beliau menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Alhamdulillah hari ini dapat kad pelajar. Rasmi, hari ini saya jadi pelajar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beberapa jam yang lalu.

Kad pelajar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Sumber: Ismail Sabri.

Sebelum ini, Ismail Sabri pernah menyambung pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (UM) pada 1980.

Ahli Parlimen Bera itu mengakui tidak menyangka memiliki kemampuan untuk kembali bergelar pelajar pada usia 64 tahun.

Pada masa sama, bila beliau berbuat demikian, ini menunjukkan pembelajaran itu tidak pernah berhenti dan bersifat sepanjang hayat.

“Tak sangka tua-tua masih jadi pelajar. Inilah yang dikatakan belajar sepanjang hayat,” ujarnya.

Sebaik pengumuman itu dimuatnaik di Facebook, ramai pengguna memberi maklum balas positif kepada niat murni Perdana Menteri Kesembilan itu.

Malah, ramai mengucapkan selamat berjaya kepada Ismail Sabri agar dapat melengkapkan peringkat pengajian beliau di UUM.