LaparPo
Majikan Melayu Dipuji Kerana Ambil Pekerja Cina Yang Disisih Banyak Syarikat
Inspirasi
Azam Motor Banting

Sebuah syarikat bengkel kereta Melayu mendapat pujian ramai kerana mengambil seorang pelajar Cina untuk menjalani latihan industri di situ.

Pemilik bengkel, Azam Motor Banting menceritakan pelajar yang bernama Keong memohon ingin menjalani latihan industri di situ.

Ini selepas permohonan latihan industri yang dibuatnya sebelum ini ditolak banyak bengkel lain termasuk yang dimiliki pemilik China.

Atas dasar membantu tanpa mengira perbezaan bangsa mahupun warna kulit, Azam Motor Banting menerima permohonan Keong.

“(Keong) datang ke Azam Motor cawangan Banting pada bulan Oktober tahun lepas. Datang setelah ditolak beberapa syarikat bengkel termasuk bengkel Cina.

“Pelajar praktikal ni memang susah mendapat tempat di dalam industri. Ketika yang lain menolak mungkin atas sebab-sebab tertentu, kami menyambut Keong dengan salam perkenalan.

“Walaupun berlainan bangsa tapi beliau gigih nak belajar dengan orang Melayu. Keong bagi kami rajin dan sangat komited dalam kerja beliau.

“Inilah yang kami terapkan di Azam Motor sejak dari dulu. Tanpa membezakan warna kulit dan bangsa, kita adalah sama sebagai satu pasukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sejak kisah ini dimuatnaik di Facebook, kisah ini mendapat lebih 2000 like dan dikongsi sebanyak 748 kali.

Ramai pengguna media sosial memuji kemuliaan syarikat tersebut kerana sudi membantu tanpa mengira perbezaan.

Malah, ramai berharap contoh yang ditunjukkan Azam Motor Banting ini dapat dicontohi oleh entiti-entiti perniagaan lain di Malaysia.