LaparPo
Mahkamah Persekutuan Batalkan 16 Kesalahan Kanun Jenayah Kelantan
Berita
Gryfindor

Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 daripada 18 kesalahan syariah yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai tidak sah dan terbatal.

Akhbar Harian Metro melaporkan pengisytiharan ini dibuat selepas panel sembilan hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan petisyen yang difailkan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Petisyen yang difailkan Nik Elin diterima mahkamah kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang di mana ia tidak mempunyai kuasa ke atasnya.

Berikut 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diputuskan terbatal dan tidak sah:

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat
Seksyen 14: Liwat
Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat
Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia
Seksyen 31: Gangguan seksual
Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu
Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan
Seksyen 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat
Seksyen 40: Melaksanakan transaksi muamalat yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah)
Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga mualat melalui riba
Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal
Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat
Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat
Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan
Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram
Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)

Hanya dua Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikekalkan iaitu menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral (Seksyen 13) dan perkataan yang boleh memecahkan keamanan (Seksyen 30).

Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli membuat penghakiman berbeza.

Panel hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut sama dalam panel hakim ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Nik Elin dan Tengku Yasmin Nastaha sebagai pempetisyen diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar. Manakala Kerajaan Negeri Kelantan dinamakan sebagai responden tunggal pula diwakili peguam Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif.

Sebelum ini, Nik Elin dan Tengku Yasmin Nastasha memfailkan petisyen untuk mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Mereka turut mendakwa DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana sudah ada undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.