LaparPo
Lori Gula Kemalangan, Beberapa Buah Kereta Jadi Mangsa
Berita
Perak Press

Satu kemalangan membabitkan tiga buah lori termasuk sebuah lori muatan gula dan empat buah kereta berlaku di Kilometer 288.1, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) antara laluan Gopeng ke Simpang Pulai hari ini.

Insiden kecemasan itu dilaporkan berlaku pada jam 7.46 pagi tadi. Difahamkan dua mangsa kemalangan yang terbunuh iaitu pemandu lori muatan gula dan pemandu lori muatan logam.

Mengikut rakaman video yang tular di media sosial, lori gula yang dipandu laju tidak dapat dikawal sebelum berlanggar dengan dua buah lori.

Perlanggaran tersebut turut mengakibatkan empat buah kereta berlanggar dan mengalami kerosakan.

Pengguna X, Yunk Arief yang berada di tempat kejadian menyifatkan lambakan gula di lebuh raya menjadikan ia kelihatan seperti salji.

“Mula-mula aku ingatkan salji rupanya gula! Lori gula kemalangan dekat Simpang Pulai tadi. Jangan tanya kenapa harga gula naik lepas ini,” katanya.

Kemalangan ini mengakibatkan laluan kedua-dua hala Gopeng-Simpang Pulai terhalang. Mengikut keterangan PLUS di X, kerja-kerja pembersihan dan pengalihan kenderaan masih lagi berjalan.

Justeru, pengguna yang berhasrat ke Gopeng atau Simpang Pulai dinasihatkan untuk keluar ke Plaza Tol Simpang Pulai (arah selatan) dan Plaza Tol Gopeng (arah utara).

@utusantvofficial

Replying to @_madamnuriz [3 FEB 24] Pemandu lori muatan gula dan muatan barang logam tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian. 📷Bernama 📽 Kredit Pemilik #fyp #trendingnewsmalaysia #beritaditiktok #salji #accidents #gula #gula

♬ original sound – UtusanTV – UtusanTV

PLUS juga turut mengaktifkan laluan kontra bagi membantu melancarkan perjalanan trafik.