LaparPo
Lelaki Meninggal Selepas Selamatkan 7 Jiran Dalam Kebakaran
Berita
S.N. Sherafie Izuan

Seorang lelaki meninggal dunia selepas berjaya menyelamatkan tujuh jirannya dalam satu kejadian kebakaran di Taman Merinding, Labuan baru-baru ini.

Allahyarham Gillian Donald, 41, disahkan meninggal dunia oleh petugas kecemasan selepas mengalami sesak nafas.

Allahyarham dipercayai terhidu terlampau banyak asap semasa membantu jiran-jirannya keluar dari rumah yang terbakar itu.

Mengikut siasatan pihak berkuasa, kejadian kebakaran itu berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat.

Sebaik pasukan kecemasan tiba di tempat kejadian, tujuh mangsa berusia antara empat hingga 67 tahun berjaya dikeluarkan oleh jiran mereka.

Bagaimanapun, ketika kejadian, Allahyarham tiba-tiba merasa letih sebelum rebah. Bantuan pernafasan kecemasan (CPR) cuba diberi petugas perubatan tetapi gagal sebelum dia dibawa ke hospital.

Allahyarham kemudiannya menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 pagi. Jenazahnya kemudiannya disembahyangkan di Masjid Jamek Likas sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Likas, Kota Kinabalu semalam.

Sepupu Allahyarham, S. N. Sherafie Izuan menyifatkan dia sebagai seorang yang budiman dan tidak lokek membantu sesiapa yang ditimpa kesusahan.

“Walaupun semasa kecil beliau fobia dan hampir pitam dengan darah, tapi pernah bertungkus lumus menyelamatkan rakan-rakan sekolah yang terlibat dalam kemalangan bas berhadapan rumah arwah datuk kami di kampung.

“Hari ini (semalam) beliau dikhabarkan meninggal dunia ketika bersama-sama jiran cuba menyelamatkan mangsa kebakaran berdekatan rumahnya. Kisahnya sebagai wira akan sentiasa diingati buat selama-lamanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Di ruang komen hantaran S N Sherafie, ramai pengguna mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat Allah s.w.t.