Susulan pendedahan isu stoking yang mengandungi kalimah Allah yang dijual KK Mart baru-baru ini, umat Islam marah dengan isu tersebut.
Meskipun pengasas dan pemilik rangkaian pasaraya berkenaan, Datuk Seri Dr KK Chai sudah memohon maaf atas apa yang berlaku, kemarahan umat Islam masih belum reda.
Malah, sudah ada seruan untuk mengadakan protes dan memboikot KK Mart.
Ini membawa kepada sebuah video yang dikongsikan pengguna TikTok, Amsyar Bundle baru-baru ini.
Video tersebut menunjukkan sekumpulan individu mengadakan protes terhadap KK Mart di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur.
Apa yang menarik perhatian warga maya ialah protes tersebut diadakan di hadapan rangkaian pasaraya Speedmart 99 dan bukannya KK Mart.
Bagi pengguna X, Addam Darshan, ini menunjukkan kumpulan yang mengadakan protes mensasarkan kedai yang salah.
“Nak boikot tapi salah kedai,” katanya secara ringkas di X. Sebaik pandangannya dimuatnaik di platform berkenaan, ciapannya diulangciap sebanyak 4,200 kali dan mendapat tanda suka lebih 5,000 pengguna.
Ketika ini, kes penjualan stoking berkenaan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.