Ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Ini selepas kejayaan Kuala Lumpur disenaraikan di tempat ke-18 sebagai antara bandar terbaik di dunia mengikut Britons Ranking.
Lebih manis, Kuala Lumpur berjaya mengatasi kedudukan bandar-bandar terkemuka dunia seperti Abu Dhabi di tempat ke-21, Dubai (ke-31) dan Las Vegas (ke-37).
Sydney yang terkenal dengan keindahan alam dan suasana moden berada di tempat pertama diikuti ibu negara Afrika Selatan, Cape Town dan Chicago melengkapkan carta tiga teratas.
Bandar-bandar Asia Tenggara yang lain menyaksikan Singapura disenaraikan di tangga kelima, Bangkok di tangga ke-12 dan Bandar Ho Chi Minh berada di tangga ke-17, satu anak tangga di atas Kuala Lumpur.
Tinjauan Britons Ranking ini dikeluarkan oleh akhbar Daily Mail, berdasarkan maklum balas daripada 1,800 responden yang berkongsi pengalaman mereka mengembara dunia di luar Eropah sejak tiga tahun lalu.