LaparPo
Korea Selatan Ketatkan Peraturan Kemasukan Orang Malaysia Ke Sana
Berita
Road To Korea/Jeremy Thompson/CC BY 2.0

Korea Selatan merupakan antara destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia bila melancong di luar negara.

Ini kerana negara Asia Timur memiliki banyak lokasi pelancongan menarik untuk dikunjungi.

Selain itu, fenomena Hallyu atau gelombang budaya popular Korea turut mendorong pelancong asing terutama dari Malaysia datang ke Korea Selatan untuk mempelajari budaya dan bahasa mereka.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, ramai rakyat Malaysia mengeluh kerana merasakan semakin sukar hendak melancong ke negara itu.

Malah, banyak insiden pelancong Malaysia dihantar pulang oleh pihak berkuasa imigresen Korea Selatan tular di media sosial.

Salah satu daripadanya ialah satu perkongsian yang dibuat dalam kumpulan Facebook, Road To Korea baru-baru ini.

Sekumpulan pelancong negara meluahkan rasa tidak puas hati kerana dilayan pihak berkuasa negara itu seperti pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sedih dan terkilan dengan layanan pihak imigresen di sana dan kami tak akan diamkan diri. Mereka bagi makanan tak halal jadi kami tak makan. Satu hari kami kena tahan dan dihantar balik.

“Nak cari makanan halal susah, beg kami kena tahan banyak makanan kami bawa dari Malaysia. Mencari makanan halal di sini susah, ini pertama kali kami datang.

“Kalau kena tahan lama, tak tahu apa nasib kami macam pedatang haram. Buat panggilan telefon ke Kedutaan Malaysia pun tak dapat membantu,” kata si penghantar yang tidak didedahkan identitinya.

Difahamkan perkara ini berlaku disebabkan ramai rakyat Malaysia yang masuk dan tinggal secara haram di Korea Selatan.

Malah, wujud sindiket pemerdagangan manusia yang menjanjikan upah lumayan kepada warga tempatan untuk bekerja di ladang-ladang negara itu.

Akibatnya, hal ini menyusahkan ramai pelancong Malaysia baik yang mengembara secara bersendirian atau yang menggunakan khidmat ejen pelancongan.

Ini menyebabkan ramai bimbang tidak dapat mengunjungi negara Asia Timur itu. Bagaimanapun, seorang pengguna Facebook bernama Mawar Rose menyediakan beberapa tips bagi membantu melepasi pihak berkuasa imigresen Korea Selatan.

Antaranya, pelancong perlu menyediakan semua salinan fizikal dokumen yang diperlukan bila hendak ke Korea Selatan seperti jadual perjalanan, tiket penerbangan pergi dan balik dan tempahan penginapan.

Pelancong yang hendak mengembara ke sana juga dinasihati pergi bersama ahli keluarga seperti ibu bapa dan suami isteri.

Ini kerana pelancong solo terutama pelajar kerap jadi sasaran pihak imigresen Korea Selatan kerana ditakuti mereka bakal tinggal dan bekerja secara haram di negara itu.

Pelancong juga perlu menyediakan senarai makanan yang perlu diisytiharkan kepada pihak imigresen. Senarai sebegini amat membantu semasa melalui proses imigresen terutama bila diminta membuat pengisytiharan.

Di samping itu, pelancong juga dinasihati agar berpakaian kemas dan membawa wang mencukupi sebagai wang perbelanjaan semasa melancong.

Kebiasaannya, pelancong perlu membawa sekurang-kurangnya 800,000 won (RM2,830) sebagai wang perbelanjaan di sana.