Reputasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu ditambahbaik sekiranya ingin menarik kehadiran pelancong untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ini selepas KLIA dinobatkan sebahagian daripada 20 lapangan terbang paling teruk di dunia mengikut data yang dikeluarkan Business Financing.
Dan di peringkat Asia, KLIA berkongsi kedudukan kelapan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dengan markah 3.36 mata.
Hal ini berlaku kerana KLIA dan DXB berkongsi penilaian dari segi kepuasan pelanggan dan kualiti perkhidmatan menyeluruh.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait mengetuai senarai lapangan terbang paling buruk di Asia dengan markah 1.69 mata.
Ini disusuli Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty (Kazakhstan) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz (Arab Saudi) yang menduduki tempat kedua dan ketiga. Kedua-dua lapangan terbang ini masing-masing mendapat markah 2.62 dan 2.72.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai (Vietnam) diiktiraf lapangan terbang terbaik Asia dengan markah 6.8 mata.
Ini disusuli Lapangan Terbang Antarabangsa Changi (Singapura) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong yang masing-masing mengutip 6.63 dan 6.48 mata.
Kesemua kedudukan lapangan terbang antarabangsa ini disusun mengikut ulasan penumpang yang pernah menggunakan lapangan-lapangan terbang sekitar Asia.