LaparPo
Klang Muncul Bandar Kedua Tertua Di Asia Tenggara
Berita
Tony Ng/CC BY-SA 3.0

Satu fakta menarik yang dikongsikan Seasia Stats semalam mengejutkan warga Malaysia khususnya warga Bandar Diraja Klang.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Seasia Stats memaklumkan bahawa Klang muncul bandar kedua tertua di rantau Asia Tenggara.

Klang telah wujud sejak 200 Sebelum Masihi (SM). Ini menjadikan bandar tersebut lebih tua berbanding beberapa kota di Asia Tenggara seperti Hue, Vietnam (abad pertama Masihi) dan Palembang, Indonesia (638 Masihi).

Ini turut disokong dengan penemuan pelbagai artifak yang ditemui sekitar Klang seperti gendang gangsa, loceng gangsa dan alatan besi bersoket. Kebanyakan artifak ini dijumpai sekitar Sungai Klang, Bukit Kuda dan Bukit Badak.

Penemuan artifak-artifak ini menunjukkan petempatan terawal manusia sudah wujud di Klang sejak Zaman Logam atau lebih tepat, 2,500 tahun yang lalu.

Hanoi menerajui senarai kota tertua di Asia Tenggara. Ibu negara Vietnam itu dikatakan sudah wujud sejak 257 SM.

Selain Hanoi, Klang, Hue dan Palembang, kota-kota lain yang tersenarai dalam senarai Seasia Stats ialah Pyay (Myanmar), Luang Prabang (Laos), Yogyakarta dan Malang (Indonesia), Nakhon Si Thammarat (Thailand) dan Siem Reap (Kemboja).