LaparPo
KKM Pantau Penjualan ‘Energy Stick’ DI Malaysia
Berita
PHM-KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau penjualan produk penyedut hidung yang dipanggil ‘Energy Stick’.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Beliau maklum dengan aduan dan amaran berhubung produk tersebut.

“Saya sudah awal menerima ‘alert‘ itu. Langsung saya beritahu kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan akan aduan yang saya terima daripada sosial media.

“Kita (KKM) akan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu,” katanya kepada media seperti dilaporkan Harian Metro.

Produk ini mencetuskan kebimbangan terutama dalam kalangan ibu bapa kerana boleh menjejaskan kesihatan penggunanya.

Penyedut tersebut menarik perhatian ramai kerana dijual dalam pelbagai warna, perisa dan saiz serta dijual antara RM2.50 hingga RM10.

Pengguna hanya perlu menyedut bahan Energy Stick ke hidung dan terus ke paru-paru mereka.

Public Health Malaysia menyifatkan perbuatan tersebut sama seperti pengambilan dadah melalui hidung atau ‘snorting’. Perbuatan ini juga boleh menyebabkan pengguna ‘Energy Stick’ untuk mencuba bahan lain termasuk dadah.

Disebabkan bahan yang terkandung dalam ‘Energy Stick’ tidak diketahui, produk tersebut boleh menyebabkan alahan dan keracunan kepada pengguna terutama pelajar sekolah.

Selain itu, perbuatan menghidu ‘Energy Stick’ boleh mengakibatkan luka, kerosakan mukus dalam hidung, pendarahan dan jangkitan kuman.