LaparPo
Kisah Meyentuh Hati Jurulatih Hoki Malaysia Tak Ambil Gaji Kerana Rasa Cinta Mendalam
Inspirasi
FIH

Di sebalik pencapaian Malaysia bergelar naib juara Piala Dunia Hoki 5s 2024, tersembunyi kisah inspirasi membabitkan pengendali skuad negara, Wallace Tan.

Kerana rasa cinta yang mendalam terhadap sukan hoki, beliau sanggup tidak mengambil gaji demi membentuk skuad hoki 5s negara yang mantap.

Perkara ini dikongsikan sendiri Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal.

KHM menawarkan gaji kepada Wallace disebabkan statusnya sebagai ketua jurulatih skuad hoki 5s lelaki kebangsaan.

Bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak beliau atas sebab mahu memberi sumbangan kepada sukan hoki negara terutama hoki 5s. Hoki 5s merupakan acara baru hoki yang diperkenalkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

“Macam Wallace (Tan), ketua jurulatih mereka. Saya memang terharu kerana Wallace Tan, bila saya nak bayar gaji, beliau tak mahu.

“Beliau beritahu saya, ‘Tidak, tidak, Datuk. Saya lakukannya sebab saya cintakan hoki. Saya nak bantu anda, bolehkah anda bantu saya?’

“Ini cerita benar ya. Saya ceritakan bukan kerana beliau berjaya (bimbing skuad hoki 5s Malaysia jadi naib juara). Beliau tak mahu. Dan saya cakap saya tiada gaji kepada Wallace Tan ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan beberapa hari yang lalu.

Subahan melihat figura sebegini yang patut dibantu kerana menabur jasa kepada dunia sukan negara tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

“Orang macam itu kita patut hargai kerana mereka lakukannya di gelanggang mereka. Mereka mahu beri sumbangan kembali kepada (sukan) hoki. Orang macam ini yang kita sepatutnya jaga,” tambahnya lagi.

Skuad hoki negara muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s 2024 selepas dikecewakan Belanda 5-2 di pentas final.