Satu insiden di Desa Pandan, Ampang mencuri perhatian pengguna media sosial apabila sebuah bas tersekat di tengah jalan.
Pengguna TikTok, kishanrao888 memuatnaik video sebuah bas persiaran yang tersekat di sebatang jalan pintas di situ semalam.
Pemandu bas dipercayai mahu menggunakan laluan tersebut untuk pergi ke destinasi yang ditujunya. Malangnya, bas itu tidak dapat bergerak apabila bahagian tengahnya tersekat pada bahagian atas jalan.
Bas hanya dapat dialihkan apabila sebuah jentolak digunakan untuk menarik bas keluar dari jalan pintas tersebut.
Di ruang komen, ramai pengguna media sosial memaklumkan mereka tidak berani melalui jalan pintas tersebut. Ini kerana jalan tersebut bukan saja sempit tetapi curam.
Malah, ada yang mendedahkan bukan sekali kenderaan lain seperti kereta dan lori tersangkut di situ.
Bagi seorang lagi pengguna TikTok, syukriismail55, satu-satunya solusi untuk mengelak perkara ini berulang ialah meletakkan palang had ketinggian kenderaan di situ.
“Kena buat palang, baru kenderaan tinggi tak boleh masuk. Sekadar pengalaman pernah sangkut di situ juga,” katanya.
Video tersebut tular di media sosial dan ditonton sebanyak 1.2 juta kali. Video itu turut mendapat 32,400 tanda suka, 1,900 komen dan dikongsikan sebanyak 5,824 kali.