LaparPo
Khairul Aming Pecah Rekod Jualan Tiktok, Cecah RM1.2 Juta Hanya Tiga Minit
Berita
Khairul Aming

Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming mencipta rekod baru jualan di aplikasi TikTok hari ini.

Ini selepas semua 80,000 produk keduanya, Dendeng Nyet Berapi yang dijual secara rasmi hari ini habis dijual dalam tempoh tiga minit dan 39 saat.

Dendeng Nyet Berapi merupakan produk kedua yang dihasilkan Khairul Aming selepas Sambal Nyet Berapi.

Dihasilkan di kilang kedua beliau menggunakan bahan berkualiti dengan kajian dan penyelidikan (R&D) selama setahun, ramai sudah tidak sabar mendapatkannya sebaik diperkenalkan pada 29 Januari lalu.

Produk kedua Khairul Aming ini dijual pada harga RM14.90. Sebaik saja Dendeng Nyet Berapi mula dijual di TikTok, ia laris macam pisang goreng panas.

Hasilnya, beliau meraih keuntungan jualan sebanyak RM1.19 juta. Atas sebab itu, Khairul Aming merasa bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya sejak beberapa tahun lalu.

“Kita berjaya lakukannya, semua. Jualan RM 1.2 juta terpantas di TikTokShop Malaysia. Semua 80,000 unit Dendeng Nyet Berapi telah habis dijual dalam masa 3 minit 39 saat dan saya mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan yang diberi sejak tiga tahun lalu. Terima kasih semua,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Ramai figura dan selebriti terkenal mengucapkan tahniah atas pencapaian hebat yang dilakar Khairul Aming hari ini.

Antara figura yang mengucapkan tahniah ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Dr. Haji Mohd. Fadzilah Kamsah dan Fedtri Yahya.

Ramai pengguna media sosial percaya Dendeng Nyet Berapi mampu mengulangi kejayaan yang dilakar Sambal Nyet Berapi.

@hairiariff

Tak sampai 4 minit Khairul Aming dah settle jual Dendeng Nyet Berapi cecah RM1.19 juta 👏 #KhairulAming #dendengnyetberapi

♬ original sound – hairi ariff – hairi ariff

Sepanjang tahun 2023, Sambal Nyet Berapi meraih hasil jualan yang lumayan buat Khairul Aming iaitu sebanyak RM20 juta.