LaparPo
Kewujudan Siakap 16 Rasa Mula Jadi Bualan Orang Pasir Tumboh
Berita
Laparpo

Pencinta makanan laut yang pernah bertandang ke Restoran KST Selera Ikan Bakar di Pasir Tumboh, Kelantan pastinya tidak akan dapat melupakan menu ikan siakap 16 rasa.

Ini kerana pelanggan dapat merasai kepelbagaian rasa setiap kali menikmati daging ikan yang lembut dan enak itu.

Pelanggan boleh memilih sama ada ikan siakap 16 rasa hijau atau ikan siakap 16 rasa merah.

Bagi pelanggan yang gemarkan menu makanan laut yang pedas, mereka boleh memilih ikan siakap 16 rasa merah sebagai menu pilihan.

Menariknya, resepi kedua-dua ikan siakap 16 rasa ini berasal dari Thailand. Justeru, tidak hairanlah bila ada yang mencuba hidangan ini, ini mengingatkan mereka kepada makanan laut Thai yang enak.

Harga ikan siakap 16 rasa ini ditentukan oleh berat ikan yang diambil. 100 gram ikan siakap berharga sekitar RM7.50 – berbaloi dengan keenakan dua hidangan tersebut.

Selain ikan siakap 16 rasa, pelanggan boleh memilih sotong pada harga RM10.00 untuk 100 gram. Ramai pelanggan Restoran KST Selera Ikan Bakar memilih sotong bakar berempah sebagai hidangan pilihan.

Sotong bakar berempah menawarkan rasa berbeza dan unik bila dinikmati di meja makan. Selain bakar berempah, pelanggan juga boleh memilih sotong yang digoreng berempah bagi yang mencari kelainan.

Penggemar makanan laut juga patut mencuba hidangan ketam di Restoran KST Selera Ikan Bakar. Ini kerana di restoran ini, mereka memilih ketam nipah sebagai bahan utama hidangan.

Ketam nipah menjadi pilihan kerana saiznya lebih besar daripada ketam biasa, memiliki banyak isi dan rasanya juga lebih manis.

Bagi yang ingin mencuba hidangan ketam di restoran ini, tiga ekor ketam dikenakan harga RM80.

Sementara siput lala pula dijual pada harga RM5 untuk 100 gram. Menariknya, hidangan siput yang disediakan dalam kuantiti yang banyak sekaligus memuaskan selera pelanggan terutama yang datang secara berkumpulan.

Jadi, bagi yang masih tercari-cari menu makanan laut yang enak di Kelantan terutama di Pasir Tumboh, boleh pergi ke Restoran KST Selera Ikan Bakar.