Bagi mana-mana penunggang motosikal, masalah tayar pancit dianggap lumrah terutama bila berada di atas jalan raya.
Bila tayar pancit, selalunya situasi ini perlu dihadapi secara bersendirian. Adakalanya, kesusahan sebegini terubat bila ada yang berhenti di tepi jalan dan membantu.
Hal ini yang dialami seorang warga emas dalam satu kisah yang dikongsikan pengguna TikTok, lozal_ismail.
Pada suatu ketika, dia melihat seorang warga emas yang menunggang motosikal secara perlahan-lahan sebelum berhenti di tepi jalan.
Lelaki tersebut menceritakan dia terpaksa menunggang secara perlahan-lahan selepas tayarnya pancit akibat terkena paku.
Lozal_ismail cuba membantu dengan menampal tayar tersebut tetapi tidak berhasil. Lantas, dia kemudiannya mengiringi lelaki tersebut sehingga ke stesen minyak bagi mendapatkan bantuan mekanik.
Tidak sampai 10 minit, mekanik tiba bagi menyelesaikan masalah tayar pancit yang dialami penunggang berkenaan. Lozal_ismail bersyukur kesusahan yang dialami warga emas itu dapat diringankan dan mendoakan semoga semua urusannya dipermudahkan.
Di ruang komen hantaran TikToknya, ramai memuji tindakan dia kerana tidak lokek membantu orang yang dalam kesusahan.
Malah, ramai mendoakan semoga Allah memberi rezeki yang melimpah-ruah kepada lozal_ismail dan mempermudahkan urusannya.
Hantaran TikToknya telah ditonton sebanyak 1.1 juta kali, 48,800 suka, 436 komen dan dikongsikan sebanyak 223 kali.