Hasrat pelakon lelaki terkenal, Saharul Ridzwan untuk melepaskan kereta Mercedes kepada pembeli yang berminat akhirnya tercapai hari ini.
Ini selepas beliau memaklumkan seorang pembeli dari Kelantan bersetuju membeli kereta tersebut.
“Penantian berapa tahun sudah ya nak jual. Hari ini Allah bantu, Allah hadirkan orang nak bantu kita selesaikan masalah.
“Jadi, terima kasih kepada semua yang beri komen (kepada hantaran sebelum ini). Jadi, secara rasmi, kereta ini sudah pun terjual.
“Tukar nama belumlah tapi saya sudah dapat duit. Insya Allah, kita akan buat penyelesaian penuh. Masya Allah, doa-doakan semoga kereta ini terjaga dan pergi ke tempat yang baik-baik. Orang Kelantan,” katanya dalam satu hantaran di Instagram hari ini.
Kini selepas selesai menjual kereta Mercedes miliknya, fokus pelakon Hati Perempuan itu ialah menjual rumah miliknya di Ceria Residence, Cyberjaya.
“Alhamdulillah, kereta selesai masalah. Ada lagi satu masalah iaitu rumah. Insya Allah nanti kita tengok rumah pula iaitu rumah di Ceria Residence, Insya Allah terima kasih,” tambahnya.
Di ruang komen, ramai yang bersyukur kerana urusan yang dikendalikan Saharul itu berjalan lancar.