Pengguna lebuh raya yang ingin pulang ke kampung pada minggu ini bertuah apabila kerajaan mengumumkan tol percuma bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2024.
Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan pengguna kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) bakal menikmati pengecualian tol selama dua hari iaitu 8 dan 9 Februari 2024.
Keputusan pemberian tol percuma selepas mendapat persetujuan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 Februari 2024 (Khamis) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 Februari 2024 (Jumaat).
Pengecualian ini bagaimanapun tidak terpakai kepada plaza tol yang terletak di sempadan negara iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
Langkah ini menyaksikan kerajaan menampung implikasi kewangan sebanyak RM42.99 juta.
KKR turut menasihatkan pengguna lebuh raya agar bijak merancang perjalanan termasuk bertolak mengikut waktu perjalanan yang disyorkan (TTA).