LaparPo
Kerajaan Sarawak Tanggung Sepenuhnya Kos Perubatan Warga Emas
Berita
Abang Jo

Kerajaan Sarawak mengumumkan bakal menanggung sepenuhnya kos perubatan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Suara Sarawak melaporkan pengumuman ini dibuat oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam ucapan sempena Hari Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Sarawak untuk menambahbaik inisiatif kebajikan sosial yang diberi kepada pemegang kad Kenyalang Gold Card (KGC).

Secara ringkas, KGC ialah kad eksklusif yang diberi kepada warga Sarawak yang berusia 60 tahun ke atas.

Pemegang KGC boleh menikmati pelbagai faedah daripada diskaun ke atas produk dan perkhidmatan yang disediakan vendor strategik KGC khas buat rakyat Sarawak hinggalah bantuan ihsan kematian (BIK) berjumlah RM3,000.

BIK hanya diberi kepada pemegang KGC yang tidak mendapat liputan perlindungan seperti insurans, takaful, Tabung Haji dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagaimanapun, ramai pemegang KGC merasakan mereka tidak mendapat faedah daripada BIK itu. Lantas, mereka memohon agar kerajaan meminda BIK agar manfaat tersebut dapat dinikmati mereka.

“Kita menyediakan bantuan sosial kepada rakyat dari lahir hingga meninggal dunia. Kalau lahir dapat RM1,000 dan kalau meninggal dunia dapat RM3,000 tetapi ramai mengatakan kalau sudah meninggal dunia macam mana hendak terima bantuan RM3,000 itu.

“Jadi kita tampil dengan dasar baharu dengan rawatan perubatan akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas,” ujarnya.

Ini dilihat usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam menyediakan kehidupan berkualiti kepada rakyat.