Satu video masakan cekodok mencuri tumpuan pengguna TikTok sejak semalam kerana keupayaannya untuk meletup dan terbang!
Video berdurasi enam saat yang dikongsikan portal Oh Bulan! menyaksikan dua individu menyiapkan kudapan mereka iaitu cekodok.
Selepas salah satu daripada cekodok diangkat keluar dari kuali dan diletakkan dalam pinggan, tiba-tiba ia meletup dan terbang ke udara.
Beberapa saat selepas itu, dua lagi cekodok meletup dan terbang ke udara. Insiden itu menakutkan dua individu tersebut saat mereka memasak di dapur.
Sebaik dimuatnaik di TikTok semalam, video tersebut ditonton sebanyak 3.5 juta kali. Video itu turut mendapat 167,600 tanda suka dan dikongsi lebih 6,000 kali.
Di ruang komen, ada yang berseloroh ini sepatutnya dijadikan menu baru yang dipanggil cekodok terbang.
Ada juga yang tertanya-tanya bagaimana perkara sebegini boleh berlaku. Pengguna TikTok, cikmanja memiliki teori mengapa cekodok yang dimasak tiba-tiba terbang.
“Api terlalu panas masa goreng atau guna air sejuk terlalu banyak masa nak cairkan tepungnya,” katanya di ruang komen Oh Bulan!.
Ada juga yang melihat hal itu sebagai satu pengalaman baru kepada orang yang jarang memasak.
Justeru, mereka melihat ini mampu mendorong sesiapa yang berdepan situasi serupa agar dapat memasak dengan lebih baik pada masa akan datang.