LaparPo
Keadaan Jalan Berlubang Disumbat Pokok Risaukan Pengguna Jalan Raya
Berita
Mahathir Aripin

Isu jalan berlubang di Malaysia terutama di negeri Sabah memeningkan ramai pengguna jalan raya. Dan ini mendorong seorang lelaki mengambil pendekatan kreatif untuk menyelesaikan isu tersebut.

Pengguna Facebook, Mahathir Aripin kecewa kerana banyak laporan jalan berlubang yang difailkannya sebelum ini tidak mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa.

Lantas, dia bertindak menanam sebatang pokok pisang di salah satu lubang yang ada di tengah jalan.

Setelah itu, Mahathir memuatnaik satu kenyataan di Facebook yang berbunyi, “Kalau (pokok pisang) sudah ada hasil nanti, (saya) beli tar sendiri untuk tutup lubang itu. Kasihan pengguna jalan raya.”

Status Facebooknya yang dimuatnaik pada 29 Januari lalu tular di mana ia dikongsikan sebanyak 133 kali.

Insiden ini turut menarik perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah. Menerusi satu hantaran di Facebook, JKR kemudiannya memaklumkan insiden tersebut berlaku di CH: 64.1, Jalan Persekutuan.

JKR melakukan kerja penyelenggaraan di jalan tersebut pada hari sama termasuk menutup lubang yang dikatakan.

“Untuk makluman, insiden viral ini terletak di CH: 64.1, Jalan Persekutuan. Unit penyenggaraan jalan pihak konsesi sedang membuat kerja-kerja penyenggaraan pada hari sama di CH: 61, oleh itu lubang tersebut telah ditutup pada hari yang sama,” kata JKR dalam satu kenyataan.

Kerja-kerja penyelenggaraan akan diteruskan jabatan itu bagi memastikan keadaan jalan raya selamat dilalui oleh pengguna jalan raya.