LaparPo
Kastam Kedah Rampas Air Zamzam Cecah Nilai Jutaan Ringgit
Berita
Buletin TV3

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya menyekat percubaan menyeludup air zamzam ke Malaysia baru-baru ini.

Sinar Harian melaporkan sebuah lori kontena yang mengisytiharkan muatan mereka sebagai produk pelembut pakaian ditahan JKDM di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 13 Februari lalu.

Pemeriksaan yang dijalankan mendapati mereka sebenarnya menyeludup 5,000 botol air zamzam sebanyak 25,000 liter bernilai RM1.3 juta.

Pengarah JKDM Kedah, Nor Izah Abdul Latiff percaya botol-botol air zamzam ini dibawa masuk ke Malaysia dari Thailand bagi memenuhi pasaran menjelang bulan Ramadan.

Kesemua botol disembunyikan di bahagian belakang kontena. Sementara muatan barang pelembut pakaian pula diletakkan di bahagian hadapan pintu kontena.

“Pada Selasa sekitar 11 malam, sepasukan pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam bersama pegawai dari Cawangan Import Eksport melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori kontena di Bay Pemeriksaan Import, Blok E, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

“Kita menjumpai sejumlah 5,000 botol air zam zam yang tidak diikrar dan tiada permit dengan anggaran 25,000 liter.

“Pelembut pakaian yang diikrar sebagai ‘dummy’ disusun penuh di pintu kontena, menyukarkan pegawai untuk memeriksa keseluruhan dagangan dalam kontena tersebut.

“Kita percaya air zam zam tersebut diseludup masuk dari Thailand untuk mengelak dari dikenakan duti dan cukai. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak mengeluarkan sebarang permit import air zam zam ini,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan pada hari ini.

Susulan itu, pemandu dan kelindan yang berstatus warganegara Thailand bersama lori kontena berkenaan telah dibawa ke Stor Penguatkuasaan Jabatan Kastam Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya.

Tambah Nor Izah lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) turut mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia diberikan lesen bagi import dan penjualan air zam zam.

“Ketulenan air zam zam itu turut diragui memandangkan Arab Saudi tidak mengeksport air zam zam dalam pasaran.

“Air zam zam diklasifikasikan sebagai barang larangan import mengikut Butiran 35, Jadual Ketiga, Item 19 (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Kes penyeludupan air zamzam ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Jika disabitkan bersalah oleh mahkamah, bagi kesalahan pertama denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000 mengikut mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.