Pisang goreng bukan saja kudapan enak pada waktu petang. Malah, makanan ini cukup popular sehingga ke tanah Jepun!
Perkara ini dikongsikan sendiri pengguna TikTok, Tinggal Kat Jepun menerusi satu hantaran video semalam.
Video berdurasi 57 saat menunjukkan seorang warga Malaysia mengajar kanak-kanak Jepun menghasilkan pisang goreng.
Selain diajar cara menyediakan pisang goreng menggunakan bahan yang disediakan, mereka juga diberi pilihan jenis hiasan atas yang mahu diletakkan atas pisang goreng.
Antara hiasan atas yang dipilih mereka ialah coklat dan manisan sprinkles. Sebaik merasa pisang goreng yang dibuat, ramai kanak-kanak yang memuji keenakan kudapan tersebut.
Malah, pada akhir sesi kelas tersebut, mereka bersorak beramai-ramai mengatakan mahu pergi ke Malaysia. Reaksi mereka menggembirakan pengajar kelas mereka itu.
Di ruang komen, ramai tidak menyangka pisang goreng menjadi idaman warga asing. Justeru, ramai mengharapkan individu tersebut dapat mengajar lebih banyak resepi tempatan kepada penduduk Jepun.
Video tersebut telah ditonton sebanyak 283,000 kali dan mendapat tanda suka sebanyak 28,400.