LaparPo
Jualan Sambal Nyet Khairul Aming Naik 40%, Kini Cecah RM20 Juta
Inspirasi
Khairul Aming

Usahawan dan juga pempengaruh terkenal, Khairul Aming mendedahkan jualan Sambal Nyet telah meningkat pada tahun lepas.

Aming, 31 tahun mendedahkan perkara ini dalam satu video yang dimuatnaik di media sosial milik beliau ketika melancarkan produk baharu, Dendeng Nyet Berapi.

Menurut beliau, sempena ulang tahun ketiga produk Sambal Nyet, ia telah mencapai jualan mencecah RM20 juta bagi tahun lalu.

“Sukacitanya saya umumkan yang jualan Sambal Nyet untuk tahun 2023 adalah sebanyak RM20 juta iaitu peningkatan 40 peratus daripada tahun yang sebelumnya”, ujar beliau penuh bangga.

Beliau juga mengakui menggunakan hasil keuntungan tersebut bagi menaiktaraf kemudahan yang terdapat di kilangnya itu.

“Macam biasa kita melabur semula ke dalam kilang kita untuk kembangkan fasiliti yang sedia ada”, tambah beliau lagi.

Anak jati Kelantan itu juga berkongsi bahawa sejumlah RM dua juta telah dibelanjakan bagi memastikan pelancaran produk Dendeng Nyet Berapi berjalan lancar.

“Seterusnya untuk pelancaran produk kedua kita ini, kita dah belanja lebih RM2 juta untuk mesin, pembungkusan, bahan mentah dan sebagainya.”

Dendeng Nyet Berapi merupakan produk kedua keluaran beliau di bawah jenama KhairulAmingBrand dan orang ramai dapat membuat pembelian apabila dirasmikan bermula Jumaat ini jam 9.00 malam di akaun Tiktok beliau.