Kehangatan solat subuh yang berlangsung di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn, Johor hari ini menyebabkan solat terpaksa dipecahkan kepada dua sesi.
Kempen subuh macam jumaat itu telah pun diteruskan ke seluruh pelusuk negara dengan sambutan di selatan tanah air tidak kurang hebatnya.
“Pada pagi ini, dianggarkan lebih 12,000 jemaah solat subuh yang hadir dalam program #semaraksubuhjohor di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn.”
Sepanjang penubuhan masjid itu, kejadian ini merupakan kali pertama bahawa jemaah perlu mengerjakan solah subuh kepada dua sesi.
“Sejak penubuhan, ini adalah kali pertama solat subuh dilaksanakan dua sesi kerana terlalu ramai jemaah yang hadir. Alhamdulillah.”
“Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada jemaah yang hadir, penyumbang-penyumbang dan sahabat-sahabat pempengaruh yang menjadi antara pencetus bagi program ini.”
Masjid juga mengucapkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz yang turur bersama-sama menjayakan gerakan ini.
Selain itu, terima kasih juga kepada dif-dif terhormat yang turut hadir sama iaitu YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi (Menteri Besar Johor), YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani (Setiausaha Kerajaan Johor), YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid (Exco Agama Johor), YB Dato’ Noorazam Dato’ Osman (Datuk Bandar Johor Bahru), YB Dr. Muhamad Akmal Saleh (Exco Kesihatan Melaka) dan dif-dif terhormat yang lain,” ujar kenyatan rasmi masjid.
Onn Hafiz juga memanjatkan kesyukuran kerana sambutan luar biasa dapat diadakan di masjid tersebut sebagai salah satu langkah untuk terus menyemarakkan solat subuh di serata masjid di Johor.
Sebelum ini, kerajaan Negeri Johor melancarkan Program Semarak Subuh di setiap masjid dan surau bermula 5 Januari 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata inisiatif itu melibatkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh negeri pada setiap subuh Jumaat sepanjang tahun ini.