LaparPo
Jawatankuasa Fatwa Singapura Perjelas Hukum Makan ‘Daging Makmal’
Berita
The Halal Times

Selepas beberapa tahun meneliti isu daging makmal, Jawatankuasa Fatwa Singapura mengeluarkan fatwa tentang hukum makan daging tersebut semalam.

Secara ringkas, daging kultur ialah daging yang terhasil menggunakan teknik penumbuhan sel, sama ada melalui penumbuhan tisu atau sel tunjang yang diambil daripada haiwan.

Daging ini dilihat sebagai sumber alternatif untuk daging berbanding daging yang diperoleh dengan cara konvensional.

Dalam satu kenyataan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memaklumkan keputusan fatwa daging makmal atau daging kultur boleh dimakan oleh orang Islam dengan dengan memenuhi tiga syarat.

Pertama, sel yang diambil untuk proses penumbuhan sel daging makmal diambil daripada sumber haiwan yang halal dimakan.

Kedua, setiap bahan yang membentuk tekstur dan komposisi daging yang diusahakan mestilah berasaskan bahan halal.

Ketiga, proses penghasilan daging kultur mestilah bersih dan bebas daripada elemen yang membahayakan kesihatan termasuk toksik.

MUIS melihat dengan mengeluarkan hukum berkenaan makanan tersebut, ini memberi keyakinan kepada umat Islam untuk makan tanpa rasa ragu-ragu.

“Ini (panduan agama) akan menjadi penting untuk sebarang rancangan masa depan untuk pensijilan halal daging makmal, bagi memudahkan orang Islam membuat pilihan yang diketahui mereka sendiri sama ada untuk mengambil produk tersebut, berdasarkan keutamaan diet mereka,” kata MUIS dalam satu kenyataan.

Daging makmal mula menjadi tumpuan ramai selepas berita penciptaan makanan tersebut timbul di Singapura pada tahun 2020.