Berita
Sky Sports

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Masjid Putra, Putrajaya bakal menganjurkan program Geng Subuh Macam Jumaat bersama legenda ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams.

Program ini dianjurkan buat kali kedua di masjid tersebut selepas kejayaan program sama pada 1 Februari lalu.

Program Geng Subuh Macam Jumaat yang diadakan bersempena Hari Wilayah Persekutuan itu telah menarik kehadiran lebih 3,000 jemaah.

Program Geng Subuh Macam Jumaat kali ini lebih istimewa kerana kehadiran Williams. Selain dikenali sebagai figura sukan ragbi, beliau juga merupakan figura Islam terkenal di New Zealand selepas memeluk Islam pada 2009.

Williams, 38, berada di Malaysia sejak 16 Februari lalu kerana menghadiri pelbagai program kerohanian anjuran Faith Events.

Beliau juga tidak melepaskan peluang berkongsi ilmu dan kepakaran ragbi bersama 60 peserta Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil baru-baru ini.

Program ini bakal berlangsung pada 25 Februari ini dan bermula jam 5.00 pagi. Hebahan program sudah mula diwar-warkan oleh akaun X, Putrajayaku bermula hari ini.

Selain menunaikan solat Subuh berjemaah, para jemaah juga berpeluang menyertai aktiviti berjalan pantas bersama Williams selepas solat.

Program JAKIM ini mendapat kerjasama Faith Events dan beberapa agensi kerajaan termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Perbadanan Putrajaya.