LaparPo
Ibu Tertinggal Anak, Maut Dalam Kereta
Berita
Hospital Shah Alam

Satu kejadian seorang ibu tertinggal anaknya di dalam kereta sehingga anaknya maut dilaporkan berlaku kelmarin.

Kejadian yang berlaku di perkarangan Hospital Shah Alam itu menyebabkan mangsa, seorang kanak-kanak berusia 5 tahun meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan diterima pada malam selepas kejadian daripada seorang pegawai perubatan hospital berkenaan.

Tambah beliau lagi, hasil siasatan yang dijalankan, kanak-kanak malang itu ditinggal tanpa sengaja oleh ibunya dalam kenderaan Perodua Axia selepas mengambil anaknya di TASKA dan mula sedar mengenai anaknya itu apabila dihubungi oleh suami.

“Ketika ditinggalkan, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu mangsa berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital itu dipercayai hanya menyedari insiden terbabit selepas dihubungi suaminya pada jam 6 petang.

Ibu mangsa segera membawa anaknya ke unit kecemasan namun anaknya itu telah meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya lagi.

Sesi bedah siasat telah dilakukan pada jam 2 petang semalam (Rabu) dengan keputusan ‘pending laboratory investigations’ dan hasil pemeriksaan tidak mendapati sebarang kecederaan luaran atau dalaman pada tubuh mangsa.

Beliau juga sempat menitipkan pesan kepada semua ibu bapa agar lebih peka dengan keberadaan anak-anak.

“Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah atau TASKA, terutama yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid melalui talian 013-6544996,” katanya.