Pempengaruh, penyanyi, komposer dan usahawan, Ariff Peter memiliki sebab tersendiri mengelak mendapatkan wang menerusi derma orang ramai atau crowdfund bagi menyelesaikan masalah hutangnya.
Ariff atau nama sebenarnya Ariff Luqman Peter Lisut berpandangan jika beliau berbuat demikian, ini akan mencetuskan pelbagai isu termasuk persepsi orang ramai terhadapnya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan dirinya bahawa beliau masih ada maruah dan memiliki kudrat empat kerat untuk bekerja tanpa mengharap bantuan orang lain.
“Aku ada maruah. Bila kau buat crowdfund, kau kena bertanggungjawab dengan duit orang. Kalau kau buat sesuatu satu hari nanti kau berjaya, aku ini pernah macam ini.
“Satu hari (orang akan kata) dia ini sombonglah, dia pun pakai duit orang. Aku tak pakai duit orang, orang pakai perkhidmatan aku,” katanya panjang lebar semasa menjadi tetamu podcast The Salesman Talk baru-baru ini.
Sebelum ini, kisah Ariff, 27, tular di media sosial kerana tinggal dalam kereta Proton Wira miliknya pada 2023 selepas menjual semua aset perniagaan, rumah dan kereta.
Tindakan itu terpaksa dilakukan selepas beliau berhutang lebih RM1 juta gara-gara terpedaya dengan pelaburan mata wang digital.
Sejak itu, Arif melakukan pelbagai kerja untuk melunaskan hutangnya itu termasuk menggubah lagu dan lirik pengiklanan, promosi dan jualan produk serta perkhidmatan kurier.
Kini, Harian Metro melaporkan beliau sudah bebas daripada bebanan hutang RM1 juta itu.
Ariff hari ini menggunakan pengalaman lalunya itu untuk membantu orang lain terutama peniaga untuk keluar daripada belenggu masalah kewangan.