Seorang pengguna X mengeluh apabila merasakan harga makanan yang dijual di sebuah festival makanan semakin mahal.
Perkara ini diluahkan Januar Haikal lebih-lebih lagi bila mengenangkan harga makanan dan minuman yang semakin meningkat ketika ini.
“Sekarang ini siapa yang tetapkan harga makanan dekat karnival makanan kena dalam julat RM15 to RM55 ini, kita perlu berbincang.
“Padahal karnival makanan ni sudah macam pasar malam saja tapi kenapa harga lagi mahal dari dalam pusat beli-belah? Hello, polis tengok ini!” katanya di X.
Januar turut memetik harga beberapa makanan yang dibeli dari festival berkenaan. Antaranya cempedak goreng yang berharga RM15, tat keju (RM12) dan donat gebu (RM5).
Melihat harga yang ditawarkan itu boleh membuatkan mana-mana pengguna yang ingin berbelanja untuk memikirkan semula kemampuan kewangan mereka.
Dan Januar percaya hal ini akan membebankan ramai pengguna terutama yang sudah berkeluarga.
“Bayangkan ayah yang kena bawa anak tiga ke empat orang pergi karnival makanan macam ni.
“RM200 paling kurang akan habis. Buatnya anak kau nak pula cromboloni atau makanan tular, meninggal dik,” tambahnya.
Pendapat Januar dipersetujui ramai pengguna lain. Ini kerana harga makanan yang dikenakan kadang-kadang tidak masuk akal dan tidak berbaloi dengan nilai harga yang ditetapkan.