LaparPo
Ganjaran RM20 Ribu Tangkap Pembunuh Zayn Rayyan
Resipi
Polis Daerah Petaling Jaya

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada pihak yang membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap suspek kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mattin.

Tawaran tersebut dibuat oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF). Pemberian ganjaran akan disalurkan menerusi PDRM Kontinjen Selangor.

Menurut Timbalan Pengerusi MCPF Selangor, Datuk Seri A Thaiveegan, inisiatif ini dilancarkan bagi membantu PDRM mendapatkan petunjuk baru tentang kes itu sekaligus membawa kepada penangkapan suspek kes berkenaan.

“MCPF Negeri Selangor bersedia menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada sesiapa yang boleh membantu memberikan maklumat kepada Polis Selangor untuk menangkap suspek dan berjaya dituduh dengan jayanya.

“Ini adalah inisiatif pihak MCPF Selangor dalam usaha membantu PDRM menyelesaikan kes pembunuhan Zayn Rayyan.

“Kenyataan ini sudah dipersetujui oleh Pengerusi MCPF Selangor, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan pihak polis belum menjumpai petunjuk kukuh yang membawa kepada suspek kes pembunuhan Zayn Rayyan.

“Itu kesulitan yang dialami oleh pihak polis. Dengan kata lain kita tidak jumpa satu keterangan fizikal atau keterangan verbal yang nampak yang boleh menjurus ke arah satu individu yang melakukan perbuatan ini.

“Walaupun kita sudah cuba dan macam-macam usaha dilakukan… dari awal Disember sehingga kini, dua bulan lebih kita berada di tempat itu menyiasat dan juga tempat lain yang difikirkan wajar.

“Kita juga menggunakan bantuan teknikal, tetapi kita masih belum jumpa suatu yang menjurus ke arah penangkapan individu itu, tapi polis masih meneruskan usaha,” ujarnya.

Sebelumnya, negara digemparkan dengan kes kehilangan Zayn Rayyan pada 5 Disember 2023 selepas kali terakhir dilihat memasuki kawasan hutan berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman.

Mayat kanak-kanak itu kemudiannya ditemui penduduk di kawasan anak sungai 200 meter dari kawasan apartmen sehari selepas itu.