Satu hantaran media sosial seorang gadis menarik perhatian ramai pengguna sejak semalam.
Ini selepas gadis tersebut mendedahkan rahsia bagaimana beliau berjaya diserap masuk dalam perkhidmatan kerajaan.
Menerusi satu hantaran video yang tular di X, gadis tersebut dikesan menyanyi di sebuah pusat karaoke pada hari bekerja.
Di situlah dia mendedahkan status dirinya sebagai kakitangan kerajaan dan inilah cara dia menghabiskan masa rehat pada setiap hari Jumaat.
Difahamkan, dia menghabiskan masa tiga jam rehat pada setiap hari Jumaat untuk bersiar dan menyanyi karaoke di sebuah pusat beli-belah yang terletak bersebelahan bangunan tempatnya bekerja.
Lebih mengejutkan, gadis tersebut turut mengakui mendapat kerja dalam kerajaan menerusi bantuan ‘orang dalam’.
Orang dalam di sini merujuk kepada individu yang dikenali bekerja dalam sesebuah entiti atau jabatan kerajaan.
Tidak lama selepas hal ini didedahkan media sosial, ramai pengguna terutama di X menyelar tindakan gadis tersebut.
Seorang pengguna X, Riadz Akmal menyifatkan tindakan gadis itu berpotensi memberi kesan negatif kepada kakitangan kerajaan termasuk kemungkinan waktu rehat sedia ada dirombak.
Selain itu, dia menyifatkan gadis tersebut gagal menjaga imej dan integritinya sebagai seorang kakitangan kerajaan.
“Contoh manusia kurang berakal, pergi buka aib sendiri di sosial. Memalukan warga penjawat awam. Disebabkan dia ini, nanti waktu rehat kena rombak. Kebodohan yang paling teruk,” katanya.
Difahamkan gadis tersebut bekerja di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Lantas, ada yang menggesa agar tindakan diambil ke atasnya bagi menjaga integriti jabatan berkenaan.