LaparPo
Family Mart Tamatkan Kerjasama Dengan Syarikat Israel, Tidak Bersekongkol Dengan Zionis
Berita
Family Mart Malaysia

Pemegang saham terbesar FamilyMart Co. Ltd. dari Jepun, Itochu Corporation bakal menamatkan memorandum kerjasama (MoU) dengan firma pertahanan Israel, Elbit Systems.

Kenyataan ini dibuat susulan gesaan yang mahu Family Mart diboikot. Ini kerana anak syarikat Itochu, Itochu Aviation mengadakan kerjasama dengan syarikat Israel.

Lantaran itu, Family Mart Malaysia mengeluarkan satu kenyataan berkenaan isu ini di Instagram rasmi mereka semalam.

Family Mart Malaysia memaklumkan Itochu Aviation telah membatalkan MoU yang dimeterai sebelum ini sebagai tanda sokongan kepada kerajaan Jepun.

Jepun memberi sokongan kepada perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.

“Kami ambil maklum mengenai seruan di media sosial untuk memboikot FamilyMart di Malaysia.

“Pada Mac 2023, ia dilaporkan Itochu Aviation (anak syarikat kepada Itochu Corporation) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Nippon Aircraft Supply dan Elbit Systems untuk mengimport teknologi pertahanan ke Jepun bagi tujuan keselamatan negara Jepun.

“Kami dimaklumkan hari ini (5 Februari 2024) oleh FamilyMart Co., Ltd Japan bahawa Itochu Aviation akan menamatkan MoU tersebut, seperti yang dilaporkan dalam berita di Jepun.

“Keputusan ini dibuat bagi menyokong sokongan kerajaan Jepun terhadap perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice) baru-baru ini, yang termasuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.

“FamilyMart Malaysia ingin mengulangi pendirian bahawa kami tidak menyokong keganasan atau pembunuhan. FamilyMart Malaysia tidak menyumbang atau menderma atau berurusan dengan Israel,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Tindakan pantas Family Mart Malaysia itu mendapat pujian ramai warga maya sejak semalam.

Ini kerana ini menunjukkan pengurusan Family Mart Malaysia peka dengan perkembangan semasa dan sentimen orang ramai.