LaparPo
Faisal Halim Mahu Hadiahkan Derrick Gan Sebiji Motor Hasil Pengorbanan Ke Qatar
Inspirasi
Astro Arena/FA Malaysia

Nama Derrick Gan bukan saja dikenali rakyat Malaysia kerana menitiskan air mata selepas skuad negara berjaya mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023.

Malah, ini disebabkan pengorbanannya menjual motosikal semata-mata untuk melihat Harimau Malaya beraksi dalam kejohanan berprestij itu.

Susulan itu, ada individu yang bermurah hati bersedia menawarkan motosikal baru buat Derrick sebaik dia kembali ke Malaysia.

Terbaru, giliran pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim dan syarikat Blast Active pula yang ingin menghadiahkan motosikal baru kepadanya.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di X beberapa jam yang lalu.

“Demi pemain ke-12. Faisal Halim dan Blast Active nak bagi motosikal kat ‘abang rambut perang’ kita (Derrick Gan). Hebatlah Mickey, (semoga) murah rezeki!” katanya.

Active Blast meminta bantuan warga maya yang mengenali Derrick agar dapat memberi nombor telefonnya kepada mereka.

Ini bagi memudahkan wakil syarikat dan Faisal untuk berhubung dan menyerahkan motosikal baru terus kepada dia sebaik pulang ke Malaysia.

Sebelum ini, seorang individu bernama Ahmad Alhafiz Najmi turut menyatakan hasrat menyerahkan motosikal baru kepada Derrick sekiranya hantarannya di Facebook mendapat 10,000 perkongsian.