Susulan penemuan rangka tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah pada minggu lalu, misteri kehilangan Allahyarham Bella atau nama sebenarnya Mira Sharmila Samsusah akhirnya terjawab.
Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan rangka tersebut milik Allahyarham selepas sampel tersebut padan dengan sampel DNA yang diberi oleh ibu dan kakaknya.
Situasi ini mendorong pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew untuk pergi ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 24 Januari lalu untuk memberi sokongan kepada keluarga Allahyarham.
Beliau bukan saja berkesempatan melakukan solat jenazah ke atas jenazahnya di HSI. Malah, Ebit Lew turut menjadi imam solat jenazah buat kali kedua di Masjid Jamek Dato Bentara Luar, Batu Pahat, Johor.
Beliau juga turut membantu menyempurnakan pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya pada hari yang sama.
Dalam satu hantarannya di Facebook, Ebit Lew mendoakan semoga keluarga Allahyarham diberi kekuatan dan ketabahan dalam mendepani ujian yang menimpa mereka.
“Semoga Allah beri ketabahan dan kekuatan buat keluarga Bella. Al Fatihah buat arwah Mila Sharmilah,” katanya.
Susulan itu, tertuduh yang juga teman lelaki Allahyarham, Mohammad Haikal Mahfuz didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada hari yang sama atas kesalahan membunuh.
Tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh. Sebutan semula kes bakal dilakukan pada 19 Februari hadapan.