LaparPo
“Dulu Man Belon Kini Man Sado” Penampilan Terbaru Man Raja Lawak Buat Netizen Terkejut
Berita
Man Raja Lawak

Ramai warga maya merasa terkejut melihat penampilan terbaru pelakon dan pelawak terkenal, Man Raja Lawak.

Menerusi satu hantaran video yang dimuatnaik di Instagram peribadinya baru-baru ini, badan Man kelihatan lebih tegap dan sasa.

Ini sama sekali berbeza dengan penampilan beliau yang berisi satu ketika dahulu. Tidak hairanlah di ruang komen baik di Instagram mahupun TikTok Man, ramai memuji perubahan positif yang dilaluinya.

Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Kassim, 47, berbuat demikian demi menjaga kesihatan dan menambahbaik penampilan dirinya terutama di khalayak awam.

Malah, beliau juga tidak lokek berkongsi rahsia bagaimana perubahan ini boleh dicapai. Selain mengawal pemakanan dan mengambil produk kesihatan, Man juga turut mengamalkan aktiviti berjalan selama dua jam setiap hari.

Gabungan tiga tips ini membantu beliau menurunkan berat badan dari 95 kg pada Julai 2023 kepada 67 kg pada Oktober 2023.

“Kamu semua nk cakap apa, cakap sajalah. Janji abang tahu abang kurus sebab jalan kaki sejam pagi, sejam petang atau malam selepas itu minum produk (kesihatan). Berat 60 kg abang masuk gimnasium, kamu semua tunggu ya,” katanya dalam satu hantaran Instagram pada Oktober lalu.

Selain tiga tips yang dinyatakan, Man turut menyatakan sabar sebagai kunci untuk mencapai berat yang diidamkan.

“Kalau nak sesuatu kita kena nekad, kena sabar, kena buat sampai jadi. Biar tak nampak hebat pada permulaan tapi nampak hebat bila dah capai kejayaan,” tambahnya.

Man kini dikenali kerana menjadi sebahagian daripada sitkom komedi kesukaan ramai di Astro Warna, Sepahtu Reunion Live.