LaparPo
Dua Bulan Tak Bayar Bil Telefon, Penghantar Makanan Bantu Menteri Cetus Idea Baharu
Berita
Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendapat idea baharu untuk lakukan sesuatu yang dapat membantu komuniti penghantar makanan.

Dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya itu menceritakan satu kisah yang mana beberapa hari lalu beliau telah meluangkan masa berbual bersama seorang penghantar Foodpanda.

Antara luahan yang menarik perhatian beliau apabila penghantar makanan itu berkongsikan kisahnya terpaksa meminjam rakan untuk membayar bil telefon yang tertunggak dua bulan kerana pendapatanya tidak mencukupi.

“Sebagai seorang ayah, saya cukup faham akan cabaran yang dihadapinya. Sedar tak sedar dah bersembang hampir 40 minit, tercetus idea untuk lakukan sesuatu untuk bantu komuniti riders kita,” katanya.

Daripada cerita itu tercetus idea untuk beliau meringankan beban yang ditanggung penghantar makanan.

Antaranya beliau telah membuat satu perjumpaan dan perbincangan bersama semua telco untuk mencadangkan satu pakej internet khas untuk penghantar sahaja. Namun, Fahmi akui bukan mudah untuk membuat rundingan bersama syarikat-syarikat swasta.

Selepas perjumpaan itu, beliau sudahpun mendapat kata putus agar telco akan sediakan pakej khas untuk semua e-hailing dan penghantar di Malaysia dengan diskaun istimewa. Beliau juga akan mengumumkan pakej khas tersebut pada esok 23 Januari 2023.

“Selepas pertemuan itu, pejabat saya telah memulakan siri perbincangan dengan semua telco untuk mencadangkan pakej Internet khas, khusus buat riders sahaja. Saya faham sepenuhnya bahawa sebagai syarikat swasta, rundingan ini bukanlah sesuatu yang mudah.”

“Alhamdulillah, hari ini saya telah bertemu semua CEO telco, dan antara lain kami telah capai kata putus agar telco akan sediakan pakej khas untuk semua e-hailing riders di Malaysia dengan diskaun istimewa. Syukur Alhamdulillah, saya akan umum pakej ini esok,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penghantar makanan kerana telah banyak berkhidmat untuk semua.