Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini sedang menjalankan kerja-kerja perobohan kedai ikan singgang yang berada di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan tempoh hari pihaknya memaklumkan kerja-kerja meroboh beberapa gerai di lokasi asal akan dilaksanakan pada 22 Januari 2024. Pengeluaran notis pemakluman pengosongan tapak itu sudahpun diberi sejak Oktober tahun lepas.
Menurut DBKL, notis itu juga dikeluarkan pada setiap pejaja untuk mengosongkan tapak selewat-lewatnya 31 Dis 2023, manakala notis peringatan pula telah dikeluarkan pada awal Januari 2024.
Susulan itu, seramai 26 penjaja gerai singgan di Jalan Dewan Sultan 1, Kampung Baru di Kuala Lumpur itu akan berpindah di lokasi baharu iaitu Medan Selera Singgang MADANI@Batu Bata, Titiwangsa.
Kerja-kerja perobohan kedai ikan singgang itu telah dibincangkan oleh dua pihak antara DBKL dengan penjaja gerai sejak 2021 bertujuan untuk memastikan kelangsungan perniagaan setelah berpindah ke tempat yang baharu.
Tular sebuah klip yang dimuat naik oleh laman Oh Bulan memaparkan kerja-kerja perobohan kedai ikan singgang di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang sedang dijalankan DBKL sebentar tadi.
Sementara itu, dalam perbincangan tersebut DBKL turut menyediakan insentif kepada pejaja di lokasi baharu antaranya pengecualian sewaan selama tiga bulan dan pengindahan serta memasang cahaya di laluan penjalan kaki dari Stesen LRT Titiwangsa ke medan selera.
Untuk rekod, lokasi baharu ini dahulunya dikenali dengan nama Medan Selera Damai@ Batu Bata yang merupakan lokasi utama bagi peminat ikan singgang di Kuala Lumpur.