LaparPo
David Beckham ‘Sempoi’ Tandatangan Baju Pengawal Keselamatan
Berita
Sumber Kedua/Oh! Media

Kehadiran legenda England dan Manchester United, David Beckham di Kuala Lumpur sejak semalam buat ramai peminat bola sepak di Malaysia teruja.

Beckham berada di Malaysia bagi merasmikan pameran “World of the Predator Exhibition” anjuran Adidas di pusat beli-belah terbaru negara, The Exchange TRX hari ini.

Meskipun beliau hanya muncul di situ pada tengah hari, ramai peminat bola sepak sudah berkumpul sejak jam 10.00 pagi untuk bergambar dan mendapatkan tandatangannya.

Sebaik saja Beckham muncul, ramai peminat berusaha mendapatkan tandatangan beliau. Salah seorang daripadanya ialah seorang pengawal keselamatan Nepal yang mengawal acara hari ini.

Apabila pengawal itu meminta legenda England itu menandatangani baju uniformnya, Beckham gembira memenuhi permintaan tersebut.

Seorang pengguna X, x.aarif menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai rezeki buat pengawal keselamatan berkenaan.

“Rezeki pengawal keselamatan Nepal sebelah aku tadi, tahu-tahu Beckham tandatangan dekat pakaian uniform keselamatan dia,” katanya.

Dalam hantaran sama, x.aarif turut menunjukkan imej dekat tandatangan Beckham pada baju pengawal keselamatan itu.

Ini bukan kali pertama legenda England itu berada di Malaysia. Beckham pernah berada di Malaysia pada tahun 2017 untuk menghadiri satu program di pusat beli-belah Pavilion.