LaparPo
China Hasilkan Bateri Nuklear Buat Telefon Pintar, Mampu Tahan 50 Tahun Tanpa Dicas
Berita
Handout

Sebuah syarikat teknologi di China mendakwa berjaya menghasilkan bateri nuklear mini yang boleh menjana tenaga elektrik selama 50 tahun tanpa perlu dicas.

Betavolt yang berpangkalan di Beijing percaya bateri ini merupakan bateri pertama di dunia yang merealisasikan penggunaan tenaga nuklear bersaiz kecil.

Cara ini dicapai dengan meletakkan 63 isotop nuklear dalam sebuah modul yang lebih kecil daripada duit syiling.

Bateri berfungsi dengan cara menukar tenaga yang terhasil daripada isotop yang mereput kepada tenaga elektrik.

Sebelum ini, Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat berjaya menghasilkan bateri nuklear untuk pelbagai fungsi seperti stesen kajian saintifik dan kapal selam nuklear.

Bagaimanapun, saiz bateri yang dihasilkan bukan saja besar tetapi memakan kos yang mahal. Dengan pengenalan bateri nuklear yang dihasilkan Betavolt, ia mampu mengubah teknologi yang diketahui ramai.

Ini kerana dengan saiz bateri yang kecil, peralatan seperti telefon pintar dan dron boleh digunakan tanpa had. Ini bermakna pengguna tiada keperluan untuk mengecas peralatan mereka.

Bateri nuklear Betavolt mampu menghasilkan 100 mikrowat tenaga dan tiga voltan dalam modul kecil berkenaan.

Malah, Betavolt juga mendakwa bateri tersebut mampu beroperasi dalam suhu melampau antara -60°C hingga 120°C. Selain itu, ia juga didakwa selamat untuk manusia dan tidak mengancam alam sekitar.

“Bateri tenaga atom yang dibangunkan Betavolt selamat, tiada radiasi luaran dan sesuai digunakan untuk peralatan perubatan, jantung tiruan dan koklea tiruan dalam tubuh manusia.

“Bateri tenaga atom juga bersifat mesra alam. Selepas tempoh pereputan, 63 isotop akan bertukar menjadi isotop kuprum yang tidak bersifat radioaktif dan tidak memberi ancaman atau pencemaran kepada alam sekitar,” kata syarikat dalam satu kenyataan seperti dilaporkan The Independent.

Ketika ini, syarikat sedang membangunkan sebuah kilang yang mampu menghasilkan modul dengan tenaga 1 wat menjelang tahun 2025.