Ramai penggemar kasut tempatan teruja apabila jenama kasut antarabangsa, Vans mengumumkan kerjasama dengan legenda pemain papan selaju negara, Padin Musa.
Kerjasama ini diumumkan Vans menerusi satu hantaran di media sosial rasmi mereka baru-baru ini.
Padin dan Vans bekerjasama menghasilkan koleksi kasut terbaru yang dipanggil The Endless Ride. Koleksi ini dikatakan melambangkan rasa cinta beliau kepada negeri kelahirannya, Pulau Pinang.
Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, Vans tidak mendedahkan bila koleksi ini akan didedahkan kepada umum.
Jenama kasut antarabangsa ini menjadi pilihan ramai penggemar kasut kerana gayanya yang klasik dan mudah digayakan oleh semua tanpa mengira umur.
Selain itu, Vans juga memiliki pelbagai rekaan dan warna yang menarik serta kualiti pembuatannya yang terbaik.
Ini bukan kali pertama Vans bekerjasama dengan Padin. Sebelum ini pada tahun 2017, kedua-duanya pernah bekerjasama untuk menghasilkan kasut nama khas atau signature shoes.
Kerjasama ini merealisasikan impian beliau untuk memiliki kasut nama khas yang diimpikan ramai pemain papan selaju profesional.