LaparPo
Cara Masjid Ini Kumpul Jam Hilang Dianggap Unik
Inspirasi
Masjid Bandar Seri Putra

Sebuah masjid di Kajang, Selangor mengambil inisiatif unik bagi mengumpulkan jam para jemaah yang tertinggal di masjid berkenaan.

Menerusi perkongsian video daripada Oh Media, seorang lelaki yang dipercayai pengunjung di Masjid Bandar Seri Putra itu menghampiri sebuah papan kenyataan yang ditutupi pintu kaca.

Di sebalik pintu kaca itu, terdapat begitu banyak jam tangan yang disangkut dan beberapa dompet yang dimiliki oleh para pengunjung yang tercicir.

”Jam anda tak hilang kalau anda tertinggal di Masjid Bandar Seri Putra, Kajang,” kata pengunjung itu di dalam video berkenaan.

”Dekat sini, pihak masjid menyimpan jam-jam tangan anda yang tercicir, terlupa, tertinggal mungkin di dalam tandas atau pun di tempat wuduk,” katanya lagi.

Beliau juga sempat memberi pesan kepada orang ramai yang ada tertinggal barangan berharga di sana untuk tidak segan silu berjumpa pihak masjid berkenaan.

“Jadi, jika anda rasa anda tertinggal barangan berharga anda, termasuklah jam, beg duit dan lain-lain yang berharga, termasuk cincin juga, anda boleh datang berjumpa pegawai masjid.”

Video di Tiktok tersebut telah mencapai hampir 40 ribu tontonan dan meraih sekitar 2 ribu tanda suka oleh para penonton.

Masjid Bandar Seri Putra terletak di Kajang, Selangor dan sangat bergiat aktif dalam penggunaan media sosial sebagai medium bagi menyebarkan dakwah.

Tonton video berkenaan: di sini.