LaparPo
Burasak & Nasi Ambeng Diwarta Makanan Warisan Negara
Berita
Tourism Johor/Visit Johor

Burasak dan nasi ambeng merupakan antara 10 jenis makanan yang diwartakan sebagai makanan warisan negara.

Sinar Harian melaporkan pewartaan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin dalam Pengisytiharan Objek Warisan 2024.

Pewartaan 10 jenis makanan sebagai objek warisan dibuat melalui kuasa yang diberi kepada Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara menerusi subseksyen 49(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

Selain burasak dan nasi ambeng, makanan lain yang tersenarai ialah dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira serta bah kut teh.

“Nasi ambeng dan mi kolok berada dalam kategori makanan ruji manakala dodol kukus tahi minyak, kuih genggang dan karas berada di dalam kategori kuih-muih.

“Bak kut teh disenaraikan sebagai objek dalam kategori sup manakala jeruk tuhau (makanan pembuka selera) dan air katira (minuman),” katanya.

Penggemar makanan pasti masak dengan semua makanan yang dinyatakan sebagai makanan warisan negara.

Nasi ambeng adalah makanan etnik Jawa merangkumi hidangan nasi putih bersama pelbagai lauk seperti ayam kicap, rendang daging, sambal goreng (tauhu, tempe, kacang panjang), bergedel dan serunding yang dihidangkan sama ada di dalam talam atau daun pisang.

Burasak pula merupakan hidangan istimewa yang disediakan semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Manakala dodol kukus tahi minyak, kuih genggang dan kuih karas adalah kuih yang dijual sepanjang masa di pasaran.

Sementara jeruk tuhau pula merupakan antara makanan tradisional istimewa Kadazan-Dusun di Sabah.

Tuhau ialah sejenis halia liar yang dicincang sebelum dicampur dengan beberapa bahan termasuk cili padi, limau kasturi dan bawang putih.

Ia akan disimpan di dalam bekas kedap udara untuk dijadikan jeruk dan sedap dimakan dengan nasi panas.

Dengan bulan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi, air katira merupakan minuman popular yang dijual di bazar Ramadan di seluruh negara.

Bak kut teh atau sup rusuk khinzir pula terkenal di kalangan masyarakat Cina. Bak kut teh merupakan hidangan yang direneh dengan pelbagai jenis herba dan rempah.