LaparPo
Bulan Bintang Janjikan Nissan GTR Kepada Pemenang Golden Ticket
Berita
Bulan Bintang Selangor

Selepas memukau pengunjung dengan persembahan dron pada tahun 2023, Bulan Bintang kini kembali dengan cabutan bertuah Golden Ticket yang menjanjikan hadiah kereta Nissan GTR!

Utusan TV melaporkan perkara ini diumumkan sendiri oleh pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi dalam Bulan Bintang The Terrrrpaling Raya Fashion Show 2024 yang diadakan di Sentul Depot, Kuala Lumpur semalam.

Selepas Bulan Bintang membuat kemunculan di pasaran sembilan tahun lalu, jenama berkenaan terus mendapat sambutan dalam kalangan pengguna.

Malah untuk tahun 2023 sahaja, Bulan Bintang telah membelanjakan RM8 juta untuk memperkukuh kedudukan jenama itu di pasaran.

Atas sebab inilah, Azzim, 27, melihat ini masa terbaik buat para pelanggan menikmati laba kesetiaan mereka bersama Bulan Bintang.

“Tahun ini adalah tahun untuk saya membalas jasa kepada mereka yang selama ini menyokong Bulan Bintang. Saya belanjakan RM11 juta dan semuanya diberikan kembali kepada pembeli.

“Tahun ini kami belanjakan RM6.2 juta dengan memberikan 150,000 sampin percuma bagi setiap pembelian atau mereka boleh memilih baju batik modern fit yang berharga RM129 secara percuma. Untuk baju batik ini kami berhabis RM1.6 juta.

“Dan setiap pembeli berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai RM3.2 juta di mana terdapat banyak hadiah menarik antaranya dua buah kereta (Nissan GTR), motosikal, iPhone, pakej umrah dan percutian,” katanya dalam sidang media selepas pertunjukan fesyen Bulan Bintang itu.

Untuk jualan Bulan Bintang kali ini, Azzim turut memastikan kualiti fabrik dan jahitan pakaian berada pada tahap terbaik.

Atas sebab itu, beliau turut menjemput pelanggan yang terpilih untuk meninjau sendiri kualiti pakaian Bulan Bintang baru-baru ini. Ramai memberi maklum balas positif kepada usahanya itu.

Bulan Bintang 2024 menampilkan enam selebriti popular sebagai duta iaitu Remy Ishak, Shukri Yahaya, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Hannah Delisha dan Daiyan Trisha.