LaparPo
Boss Mario Menyorok, Stress Fikir Bonus Pekerja
Berita
Boss Mario

Misteri kehilangan pempengaruh media sosial, Boss Mario sejak beberapa hari lepas akhirnya terjawab hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit memaklumkan pempengaruh media sosial itu sebenarnya tidak hilang.

Sebaliknya, Boss Mario atau nama sebenarnya, Yew Boon Xiang, 30, mengalami tekanan dan pergi ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.

Perkara ini disedari oleh abangnya, Yew Boon Teck, 31, selepas mengesan adiknya membuat tempahan perkhidmatan e-panggilan ke sebuah hospital swasta di Melaka Raya.

Selepas mengetahui adiknya sedang menjalani rawatan di situ, perkara tersebut kemudiannya dimaklumkan kepada Balai Polis Batang Tiga.

“Punca penemuan itu ialah apabila abangnya, Boon Teck, nekad menghubungi semua hospital di Melaka untuk mendapatkan maklumat sama ada Mario (Boon Xiang) mendapatkan rawatan atau sebaliknya.

“Apabila mengetahui adiknya itu sedang mendapatkan rawatan di wad kecemasan hospital swasta terbabit, Boon Teck kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada Balai Polis Batang Tiga.

“Siasatan kemudian mendapati pemuda itu menghilangkan diri dan tinggal di rumah kosong terbiar di Klebang sejak Jumaat lalu rentetan tertekan menguruskan dua kedai telefon bimbitnya kerana mahu beri bonus kepada 22 pekerjanya,” katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian.

Christopher turut memaklumkan Boss Mario dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Setakat ini orang yang hilang ini tidak ada apa-apa kecederaan serius dan kita sahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian ini,” tambahnya lagi.

Sementara itu, TeamYewGadget melafazkan rasa syukur selepas Boss Mario ditemui dalam keadaan selamat. Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam kes tersebut.

“Alhamdulillah, Boss Mario telah selamat dijumpai, terima kasih kepada semua yang membantu dan memberi kerjasama dalam kes ini.

“Boss Mario sekarang sedang dirawat dan memerlukan rehat yang cukup kerana faktor badan yang lemah. Harap semua yang melihat boleh sama-sama doakan agar kesihatan Boss Mario kembali terjamin dan boleh bersama-sama staf semula,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Boss Mario dilaporkan hilang di Pantai Klebang pada Jumaat lalu dengan kehilangannya tular di media sosial.

Beliau dikatakan meninggalkan rumahnya di Semabok menuju ke pantai berkenaan dengan menaiki kereta jenis Honda City pada jam 3.00 pagi.

Abangnya menemui kereta berkenaan di Pantai Klebang pada jam 6.00 petang hari sama tetapi kelibatnya tidak kelihatan.