Kelicikan seorang pengemis berlakon pekak dan bisu membolehkannya meraih kutipan sebanyak RM500 sehari.
Harian Metro melaporkan kegiatan lelaki tersebut terbongkar selepas ditahan dalam operasi membanteras aktiviti pengemis yang dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran di pasar malam Sri Jaya, Maran, Pahang semalam.
Mereka mengesan lelaki tersebut yang memakai kopiah dan pakaian jubah melakukan aktiviti mengemis di pasar malam berkenaan.
“Dari jauh kelihatan seorang lelaki berdiri di celah payung peniaga pasar malam sambil memegang beg kertas, meminta simpati orang ramai yang lalu lalang.
“Kedua-dua tangan lelaki terbabit kelihatan kecil tidak seperti tangan manusia normal. Pegawai penguatkuasa JKM Maran menghampiri lelaki itu dan bertanyakan tujuannya meminta sedekah, namun pertanyaan tidak dijawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Lelaki tersebut berpura-pura bisu dan pekak bila ditanya tentang kad pengenalannya. Selepas diasak berkali-kali oleh penguatkuasa JKM Maran, barulah lelaki itu bersuara dan mengaku dirinya orang kelainan upaya (OKU) fizikal.
Selepas disoal siasat, lelaki tersebut mengaku melakukan aktiviti mengemis sekitar pasar-pasar malam dan meraih RM500 bila mengemis dalam tempoh empat hingga enam jam sehari.
Penguatkuasa JKM Maran turut terkejut apabila mendapati lelaki tersebut mampu membeli kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 hasil daripada kegiatannya itu.
“Penguat kuasa JKM mengekori lelaki itu ke keretanya dan mendapati individu yang hanya berdiri meraih simpati orang ramai atas kekurangan diri, memandu sebuah Proton X70 Premium.
“Siasatan lanjut mendapati lelaki itu tinggal di Balok, Kuantan dan akan ke pasar-pasar malam untuk mengemis. Semakan turut mendapati lelaki itu menerima Elaun Pekerja OKU daripada JKM sebanyak RM450 sebulan sejak 2001.
“Lelaki terbabit kemudian dilepaskan dengan amaran oleh penguat kuasa JKM,” ujarnya.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati bila bersedekah tidak kira di mana saja mereka berada.