Semasa kecil, ramai orang mengatakan rupa dua kawan baik, Thangah Koh, 72, dan Fatimah Mohidin, 71 amat mirip seolah-olah mereka adik-beradik.
Bertahun-tahun kemudian, kedua-duanya mengetahui bahawa mereka memang memiliki pertalian darah – satu fakta yang menggembirakan dua sahabat karib berkenaan.
Hal ini turut menjelaskan mengapa dua bersaudara ini sentiasa diajak bermain bersama-sama oleh ibu bapa mereka semasa kecil.
“Ibu-ibu angkat kami selalu beritahu kami untuk bermain bersama-sama tapi mereka tidak cakap kenapa. Kami juga tak tahu sebabnya,” kata Fatimah kepada akhbar Singapura, The Straits Times.
Kisah Thangah dan Fatimah merupakan sebahagian daripada kisah-kisah anak angkat berlainan bangsa di Singapura sebelum merdeka.
Kisah mereka diabadikan dalam buku Little Drops: Cherished Children Of Singapore’s Past yang dikarang Dr Theresa Devasahayam.
Thangah dan Fatimah merupakan anak kepada seorang mekanik dan isteri daripada perkahwinan kedua.
Lahir di bawah nama Koh Siew Kiang dan Koh Siew Lang, kedua-duanya masing-masing anak kedua dan ketiga daripada lapan orang cahaya mata perkahwinan kedua bapa mereka.
Kedua-duanya kemudian diserahkan kepada keluarga angkat atas nasihat seorang tukang tilik. Ini kerana tukang tilik itu memberi amaran jika kedua-duanya tidak diserahkan, mereka boleh membawa nasib malang kepada keluarga.
Pada awalnya, kedua-duanya dijaga oleh ibu bapa angkat Thangah yang berbangsa India. Bagaimanapun, Fatimah kemudiannya diserahkan kepada jiran mereka iaitu pasangan suami isteri Melayu yang belum memiliki zuriat.
Thangah hanya mengetahui statusnya sebagai anak angkat apabila mahu mendaftarkan kad pengenalan diri semasa remaja.
Apabila dia memberitahu status kaumnya ialah India, pegawai imigresen yang menguruskan permohonan kadnya memaklumkan itu mustahil. Ini kerana mengikut sijil kelahiran asalnya, Thangah berbangsa India.
Apabila dia mengetahui berita tersebut, Thangah menerimanya dengan tenang. “Saya terima berita itu dengan tenang. Saya rapat dengan ibu bapa angkat saya yang amat menyayangi saya,” katanya.
Semasa berusia 20 tahun, Thangah mula mencari ibu bapa kandungnya dengan bantuan ibu angkatnya. Selepas mendapat maklumat alamat terbaru mereka daripada seorang jiran, kedua-duanya pergi ke kediaman berkenaan.
Pada mulanya, mereka disangka tersilap mencari alamat disebabkan penampilan dan pakaian mereka. Segalanya berubah apabila ibu bapa kandung dan adik-beradik Thangah menyedari siapa dirinya.
Hari itu dianggap hari paling menggembirakan buat mereka terutama buat bapa kandungnya. Sebelum ini, keluarga kandung Thangah pernah mengeluarkan iklan untuk mencarinya dalam akhbar berbahasa Cina tetapi tidak berhasil.
Pada hari sama, bapanya turut memaklumkan bahawa Fatimah dan dia memiliki pertalian darah. Kedua-duanya gembira apabila mengetahui status sebenar hubungan mereka.
Sejak itu, kedua-duanya mula meluangkan masa bersama keluarga kandung mereka tanpa melupakan keluarga angkat masing-masing.
“Adik-beradik kandung saya bersifat penyayang dan menghormati dan hubungan kami juga makin rapat apabila berusia lanjut. Adik-adik saya memanggil saya kakak India mereka dan Fatimah kakak Melayu mereka,” ujar Thangah.
Kedua-dua wanita ini meraikan pelbagai perayaan bersama keluarga kandung mereka. Mereka akan menyertai keluarga Koh untuk makan malam pertemuan semula pada malam Tahun Baru Cina dengan Fatimah membawa sendiri makanan halal.
Keraian Deepavali diraikan di kediaman Thangah. Manakala sambutan Hari Raya Aidilftiri pula disambut di rumah Fatimah.
Kedua-duanya sudah berkahwin dan memiliki anak-anak yang telah mencecah usia dewasa. Walaupun dibesarkan oleh ibu bapa angkat berlainan kaum, itu bukan penghalang buat Thangah dan Fatimah kekal rapat sehingga hari ini.
Thangah fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Tamil serta boleh bertutur sedikit dalam Bahasa Mandarin. Sementara Fatimah pula fasih berbahasa Melayu dengan Bahasa Melayu menjadi medium komunikasi dua bersaudara itu.
Bila ditanya tentang perasaannya dijadikan anak angkat semasa kecil, Thangah tidak marah. Sebaliknya, dia melihat apa yang berlaku itu sebagai ketentuan takdir.
“Saya tak pernah merasa marah tentang saya dijadikan anak angkat. Saya anggap itu sebagai kehendak Tuhan. Saya juga rasa bersyukur kepada ibu bapa angkat saya kerana membesarkan saya,” ujarnya.