Berita
MBPP

Sebuah restoran terkemuka Pulau Pinang diarahkan untuk ditutup serta-merta selepas satu operasi mengejutkan dijalankan.

Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Rabu mendapati bau hancing dari air kencing dan najis tikus berada di stor simpanan makanan premis tersebut.

Pengarah Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), M. Bawani berkata, tahap kebersihan restoran yang terletak di Lebuh Chulia, Georgetown, Pulau Pinang itu berada di tahap mengecewakan.

“Pihak pengurusan premis mendakwa membersihkan perangkap minyak setiap hari namun ketika pemeriksaan dilakukan, kami mendapati keadaannya amat teruk sekali.

“Manakala tahap kebersihan dapur iaitu di tempat memasak amat tidak memuaskan selain telur dan lain-lain makanan diletak bersama cat serta bahan pencuci,” jelasnya, lapor Harian Metro.

MBPP

Tambahan pula, pihak pengurusan restoran tersebut juga gagal mengemukakan Kad Suntikan Vaksin Anti-Tifoid sewaktu diminta oleh pihak penguatkuasa.

Dalam masa yang sama, pihak penguatkuasa terpaksa menenangkan dan memberi penerangan lanjut kepada pengurus restoran yang dilihat tidak berpuas hati ketika pemeriksaan dijalankan.

Lebih memburukkan keadaan, pihak penguatkuasa turut mendapati alat-alat perkakas dapur seperti beberapa periuk nasi di dapur restoran terbabit berada dalam keadaan kotor selain pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak dibasuh dan mengeluarkan bau yang busuk.

Oleh yang demikian, restoran berkenaan telah diarah tutup selama 14 hari sehingga 30 Januari ini bagi memberi laluan kerja-kerja pembersihan dijalankan.

Selain restoran yang dikenali dengan masakan Timur Tengah ini, terdapat dua lagi restoran yang turut diserbu iaitu restoren nasi kandar dan restoran masakan India di Pulau Tikus selepas najis tikus ditemui di dapur.