LaparPo
Batalkan Makan Malam, Majikan Ganti Dengan Duit RM6 Ribu Untuk Setiap Pekerja
Inspirasi
NanGege

Seorang majikan memilih membatalkan majlis makan malam tahunan anjuran syarikatnya dan memberi duit kepada pekerja sebanyak 10,000 yuan (RM6,666).

Perkara ini dikongsikan oleh majikan yang bernama NanGege menerusi satu hantaran di Facebook pada 16 Januari lalu.

Keputusan itu diambil selepas beliau mendapatkan maklum balas pekerja tentang majlis makan malam tahunan yang dianjurkan oleh syarikatnya.

Ramai pekerja memberitahu NanGege bahawa mereka merasa tidak selesa makan bersama barisan pengurusan senior syarikat.

“Pada awal tahun ini, saya membatalkan majlis makan malam tahunan syarikat. Ini kerana para pekerja memaklumkan mereka merasa tertekan bila makan bersama pengurusan atasan,” katanya.

Lantas, sebagai ganti kepada tindakannya membatalkan majlis makan malam tahunan syarikat, beliau memberi wang 10,000 yuan (RM6,666) kepada semua pekerja.

NanGege melihat insentif ini sebagai permulaan yang baik untuk mengubah syarikat menjadi tempat di mana pekerja dapat bekerja dengan gembira.

“Selepas membatalkan majlis makan malam tahunan syarikat, saya perlu mengubahnya kepada (sesuatu yang menggembirakan pekerja).

“Semua orang mendapat duit makan malam tahunan sebanyak 10,000 yuan (RM6,666). Saya juga fikir ini perkara baik untuk mengubah syarikat secara perlahan-lahan menjadi sesuatu yang pekerja suka,” tambahnya.

Sejak kisah ini dimuatnaik di Facebook, hantaran tersebut mendapat lebih 90,000 like dan dikongsi sebanyak 2,300 kali.

Ramai memuji tindakan murni NanGege kerana itu memperlihatkan beliau sebagai seorang majikan yang baik, bertimbang rasa dan mengambil berat kebajikan pekerjanya.